ISTANA PUTERI (Rabiatul Adawiyah)
‘Selamat hari jadi…Selamat hari
jadi…Selamat hari jadi Aisy…Selamat hari jadi’
Sayup-sayup kedengaran nyanyian lagu
hari jadi di lorong Taman Melati Indah yang sesekali diselangi dengan ketawa
riang kanak-kanak.
“Aisy, cepat potong kek tu” ujar
cikgu Aira ketika menghulurkan pisau pemotong kek kepada anak muridnya yang
genap berusia 9 tahun.
“Aisy dah tak ada ibu ayah. Jadi,
kenapa perlu sambut hari jadi Aisy?” luah Aisy dalam sedu dengan
titisan-titisan air mata yang membasahi pipinya.
Suasana di
Rumah Anak-Anak Yatim Permata Kasih menjadi sepi. Hanya bunyi kipas yang
kedengaran. Aisy merupakan anak tunggal. 6 bulan lepas, dia kehilangan kedua
orang tuanya dalam satu kemalangan jalan raya.
“Cikgu ada
satu cerita. “Tajuknya ialah ‘Istana Puteri’. Aisy nak dengar?” kata cikgu Aira
sambil mengelap air mata anak muridnya itu.
Aisy
mengangguk.
“Ok. Sebelum
kita semua makan kek ni, cikgu akan ceritakan kisah ‘Istana Puteri’.Semua nak
tahu tak kisah ‘Istana Puteri’?”
“Nak!!!” Jawab
mereka serentak.
“Satu ketika
dahulu, ada seorang puteri yang hidup dalam kemiskinan. Hinggakan dalam rumah
mereka tidak ada minyak untuk memasang lampu dan tidak ada kain untuk membalut
badan.”
“Miskinya
dia.” ujar Haris; salah seorang daripada kanak-kanak itu. Cikgu Aira hanya
tersenyum sebelum menyambung kembali ceritanya.
“Puteri ini
mempunyai empat orang adik beradik dan dia merupakan bongsu. Walaupun dia anak
bongsu, tetapi hidupnya tak seindah kehidupan anak-anak bongsu yang lain. Tidak
berapa lama setelah dia dilahirkan, kedua–dua ibu bapanya telah meninggal
dunia, manakala ketiga-tiga orang kakaknya turut meninggal dunia akibat
kelaparan.”
“Selepas itu,
siapa yang jaga dia cikgu?” soal Aisy.
“Selepas itu,
dia dipelihara oleh seorang lelaki yang kejam dan dipaksa melaksanakan segala
perintah tuannya. Bukan
itu sahaja, dia juga diseksa
oleh tuannya dengan kerja yang berat dan tidak pernah diberi makan. Sehinggakan pernah satu hari,
pengawal tuannya melepaskan ular dan kala jengking dalam bilik puteri ini.”
“Kesiannya dia”
ucap Aisy.
“Walaupun dia
kehilangan keluarga dan diseksa, tapi dia tidak pernah meratapi nasibnya malah
sentiasa berdoa dan beribadat kepada Allah.”
“Nak tahu tak
apa pegakhiran ‘Istana Puteri’?” soal Cikgu Aira.
“Nak!!!” jawab
mereka serentak.
“Akhirnya
Allah menjanjikan syurga buatnya. Walaupun di dunia, dia tidak memiliki istana
yang indah dan dilengkapi dengan keluarga tercinta dan kemewahan tetapi Allah
memberikannya istana yang jauh lebih indah kerana kesabaran dan ketakwaannya
iaitu istana di syurga.”
“Kerana itu,
Allah tidak menguji kita melainkan untuk memberikan syurga di akhirat nanti.
Kalau kita masuk syurga, kita dapat berjumpa kembali dengan orang-orang yang
kita sayang. Dengan syarat, kita perlulah sentiasa sabar dan rajin beribadat
kepada Allah.”
Cikgu Aira
melihat mereka menganggukkan kepala tanda faham dengan cerita yang disampaikan.
“Jadi
sekarang, jom kita makan kek.” ujar cikgu Aira ceria.
Sebelum
memotong kek, Aisy mendekati cikgu Aira dan bertanyakan soalan yang berlegar di
dalam benak fikirannya.
“Apa nama
puteri itu, cikgu?” soal Aisy penuh tanda tanya.
“Rabiatul
Adawiyah”
-TAMAT-
Dinukilkan oleh: Asma Fitriyah
lagu Rabiatul Adawiyah oleh INTEAM
Semoga Bermanfaat😊
Ulasan